tentang I-man

Aku Aiman. Seorang insan biasa dengan kisah luar biasa, (pada akulah). Perempuan padaku seorang yang sangat berharga. Mungkin kerana sepanjang hayatku, hanya seorang wanita yang aku kenali yang benar-benar rapat dan faham dengan diriku, iaitulah arwah ibu. Aku tidak memanggilnya ibu, tetapi emak. Keluargaku unik, 6 adik-beradik, meninggal dunia dua orang, dan yang meninggal dunia itu kedua-duanya perempuan. Kedua-duanya itu pula 'pulang ke rahmatullah' ketika aku belum mengenal dunia, apalagi untuk mengenal mereka, sementelah aku ini anak 'bongsu'. Bagaimana mungkin aku mengenal wanita lain selain emak.

Emak pada aku seorang yang sangat cekal, tabah dan juga tegas. Di kelilingi lelaki-lelaki dalam hidupnya, namun emak tidak pernah kalah. Kadang kala aku merasa emak yang lelaki dan kami semua wanita. Emak semasa mudanya kuat memanjat alang untuk mengelap tingkap. Emak juga gagah berkebun. Namun ciri-ciri femininnya pada aku tidak terlawan oleh mana-mana wanita. Sebut sahaja teknik jahitan apa, semua emak tahu. Bunga-bunga dan gambar-gambar silang-pangkah (cross-stitch) yang targantung kemas di dinding rumahku, semuanya bukan beli, tapi hasil gubahan dan jahitan emak. Emak juga tangkas di dapur. Kalau kenduri setakat untuk 100 orang tetamu, emak sorang boleh setelkan. Setiap kali raya pula, emak tak suka beli kuih 'tunjuk'. Emak suka buat sendiri. Antara kuih kegemaran kami sekeluarga yang pasti emak buat setiap tahun adalah kuih 'tart nenas' dan 'chocolate rice'. Memang kuih-kuih ini boleh didapati dengan mudah di bazar-bazar ramadhan. Tapi pada aku, aku belum pernah merasai kuih sesedap air tangan mak. Seorang teman sekolah rendahku pernah berkata semasa berhari raya ke rumahku satu ketika dulu "datang rumah ko Man, mesti ada kuih ni.. tak dapat kat tempat lain.." sambil tangannya membuka balang kuih 'chocolate rice'. Sayang, hayat emak tak panjang. Tak sempat melihat menantunya.

Aku memulakan alam persekolahanku di tadika biasa. Yang luar biasanya mungkin tadika ini berada di dalam kawasan pagar sekolah rendah.. (kalau boleh dianggap luar biasalah haha). Ayahku seorang guru di sekolah rendah yang berkongsi pagar dengan tadikaku. Apalagi, pergi dan pulang berjemputlah aku. Tapi kerana aku lelaki, ya aku degil. Pernah aku pulang sendirian dengan teman-teman, tapi tidak ke rumah, sebaliknya ke rumah kawanku. Sehingga ayahku terpaksa menjejaki aku melalui maklumat kawan-kawanku. Bukan aku lari dari rumah, tapi tak tahu jalan pulang... Pernah juga aku pulang bersama seorang sepupuku dan semasa melintas jalan dengan tanpa memandang kiri dan kanan aku dilanggar oleh sebuah vespa.  Tangan kiriku patah. Tapi serius, aku tak ingat proses simen, X-Ray dan sebagainya. Waktu itu umurku baru 6 tahun.

Aku bersekolah rendah di sekolah biasa. Semasa darjah 3, aku terpukau dengan rambut panjang seorang rakan perempuan. Rambut itu hanya aku nampak ketika sukan sekolah, kerana pada hari biasa dia bertudung. Dan semasa darjah 3 itu juga ustazahku memberi ajaran "bagus kalau berniat untuk berkahwin, kerana ianya sunnah". Dalam umuran yang tak matang, aku meletakkan cita-citaku untuk berkahwin dengan perempuan tadi, suatu hari nanti.
Dengan keputusan UPSR yang tidak memberangsangkan, aku ke sekolah menengah juga biasa-biasa. Namun alhamdulillah dapat memasuki kelas khas Bahasa Arab, di mana kami memiliki satu mata pelajaran tambahan iaitulah Bahasa Arab. Di sini, aku mula mengenali dan membaca perbezaan antara wanita solehah dan wanita biasa-biasa. Sudah pasti jika diberi pilihan, aku memilih wanita solehah.

Tamat tingkatan 3, PMR ku agak cemerlang. Aku melanjutkan pelajaran ke sekolah teknik. Di sini, 99% pelajar lelaki. Ketika aku tingkatan 4, tiada asrama perempuan; masih dalam pembinaan. Justeru pelajar perempuan semuanya tinggal di luar atau kami gelar sebagai 'outsiders'. Di kelas kami, setelah beberapa bulan sunyi daripada wanita, akhirnya muncul sekuntum bunga menghiasi taman kelas kami. Itupun kerana sebuah sekolah teknik di negeri jiran kurang kelengkapan, maka berbondong-bondonglah pelajar-pelajar sekolah berkenaan keluar mencari sekolah-sekolah teknik lain, termasuklah si dia, satu-satunya bunga di kelas kami. Oleh kerana dia satu-satunya, maka ramailah yang tergila-gila. Namun aku, bercakap pun jarang dengan dia. Segan teramat sangat.

Alhamdulillah, SPM ku biasa-biasa. Aku layak menyambung Ijazah di sebuah universiti tempatan di selatan tanah air, tanpa perlu memasuki matriks terlebih dahulu. Di sini aku agak aktif. Banyak persatuan yang aku sertai, dan ada juga yang aku presidennya. Kata orang, bila terlibat aktif dengan kepimpinan, ramai wanita yang akan terpaut hati. Tapi aku merasakan perbezaan. Tiada siapa yang meminati ku. Berbanding teman baikku yang pernah menerima surat cinta di motornya. Dia membaca surat itu kuat-kuat di hadapanku, haish... Mungkin kerana aku tidak berupa. Sehinggalah suatu hari aku berbicara dengan seorang perempuan yang aku ketahui sudah ber'pakwe'. Tersingkap rahsia, rupanya ramai yang minat padaku, tetapi segan. Hatiku bercampur-baur, antara geram dan syukur. Geram kepada mereka yang segan, dan syukur pula kerana dengan itu aku tidak terlibat dalam arena pakwe makwe yang meleka dan mengkhayalkan. Tapi dalam pada itu, sangkut juga aku dengan seorang teman wanita atau boleh aku gelar sebagai 'cinta monyet'. Cuba menjadi pasangan yang lain dari yang lain dengan menjaga batas perhubungan, tiada call, tiada sms tanpa keperluan.. ternyata sangat sukar. Akhirnya, tidak ke mana..

Ramai yang tidak tahu kekandasanku di universiti. Ya, aku tidak tamat belajar, aku tidak memiliki ijazah. Bukan kerana cinta, tapi kerana pilihan. Aku yang memilih untuk menukar kursus kepada yang lebih aku minati ketika di tahun 4 pengajian. Aku yang memilih untuk tidak hadir ke kelas setelah berjaya penukaran kursus kerana tertekan dengan kawan-kawan yang sudah tahun akhir, sedangkan aku pelu mengulang tahun pertama di kursus baru. Semuanya pilihan aku sehinggalah aku gagal. Kegagalan tidak menempatkan aku di kampung untuk menanam jagung. Sebaliknya aku masih berada di selatan tanah air dan bekerja. Pernah bekerja sebagai QC di sebuah kilang kotak dan juga sebagai guru sandaran di sebuah sekolah menengah. Kalau aku teruskan, mungkin kini aku sudah diserap kerana perkhidmatanku cemerlang dan disukai Pengetua, guru-guru dan anak-anak didik. Tapi kerana hasrat untuk memiliki sekurang-kurangnya segulung diploma, akhirnya aku menyambung pengajian diploma dia sebuah institusi juga di selatan tanah air.

Di sini, aku masih meneruskan keaktifan. Aku yakin bukan aktif yang menyebabkan aku gagal. Aku bercampur dengan rakan-rakan sefikrah untuk berprogram. Alhamdulillah, muslimin dan muslimat di sini baik-baik dan boleh menerima aku yang perbezaan umurnya terlalu jauh. Aku adalah abang long mereka (tapi bukan Ah Long, mahupun Ayahanda.. hehehe)... Alhamdulillah aku berjaya menamatkan pengajian di sini.

Tamat sahaja pengajian, aku menerima panggilan temuduga. Bergegas aku ke Damasara Perdana untuk ditemuduga. Temuduga selama 3 jam itu memerlukan aku menyiapkan tugasan menggunakan Adobe Illustrator dan Adobe Photoshop. Selesai tugasan, aku diminta tunggu kerana katanya Dato', seorang wanita Indian iaitu pemilik syarikat ingin berjumpa. Rupa-rupanya Dato' suka dengan hasil kerjaku dan aku ditawar bekerja di syarikatnya. Alhamdulillah, nampaknya aku tak sempat menganggur. Setelah sembilan tahun di negeri orang, akhirnya aku kembali ke tanah kelahiran. Namun bebanan kerja yang banyak sebagai pereka grafik di sebuah syarikat penerbitan majalah bertaraf antarabangsa ini membuatkan ramai pereka grafik berada dalam tekanan, termasuk aku. Di sini, pereka grafik bersilih ganti. Namun mereka sangat mementingkan kualiti sehingga bertalu-talu yang datang temuduga, tapi yang diambil hanya seorang dua untuk setiap kali pengambilan. Aku yang merasa bertuah pada awalnya mula berasa tertekan. Akhirnya, aku meninggalkan syarikat ini setelah ramai pereka grafik yang lain terlebih dahulu mengambil langkah yang sama.

Pekerjaan demi pekerjaan aku lalui, satu persatu memberikan pengalaman yang berbeza-beza untuk diriku. Daripada hanya bermotosikal, kini aku telah mampu memiliki sebuah kereta walaupun hanya si mini VIVA dan pastinya aku bersyukur. Cuma apa yang masih belum terealisasi untuk tambah menyempurnakan hidupku adalah kehadiran seorang suri hati. Seorang wanita yang melengkapi sayap perjuangan dan pelangkap agamaku. Seorang bidadari agama, pembimbing soleh dan solehah anak-anakku nanti. Sekian lama semakin ramai yang bertanya-tanya. Jawapanku, InsyaAllah terdekat ini.. Apa yang aku harapkan kini adalah doa daripada sahabat-sahabat. Doakan ya! =)