Monday, December 6, 2010

Sampai begini sekali akhlak mereka?

Sahabat di Wilayah Ukhuwah PeMIMPIN
4 Disember, petang ini jadualku ke Kuantan. Namun masih ada tugas yang perlu aku selesaikan. Tengahari itu aku memaksa diriku untuk masuk juga ke pejabat, persiapkan semua barang untuk program berkhatan esoknya yang tak dapat aku sertai, tinggalkan kunci pejabat di kaunter Gombak Medical Centre, dan kemudiannya SMS kepada Dr Azrin, beritahu kunci ada di kaunter GMC. Begitulah tugasku sebagai Pembantu Tadbir PAPISMA. Seterusnya aku bergegas ke stesen bas Green Wood. Alhamdulillah abang yang berkerja di pejabat GMC sudi tumpangkan aku ke stesen bas.

Menjelang maghrib aku tiba di Kuantan. Bersolat jamak Maghrib dan Isyak di surau terminal bas Kuantan sambil menunggu sahabat datang menjemput. Beberapa orang sahabat dari Johor masih belum bertolak, tengah malam itu katanya. Beberapa minit berlalu, Zubir hadir untuk menjemput aku. Alhamdulillah, malam itu kenyang makan sate 45 cucuk, tiga mulut; aku, Zubir dan Zaim. Terbongkang jugalah..

Sesudah makan, aku di bawa ke rumah sahabat untuk istirehat. Sesuatu yang membuatkan aku teruja adalah keadaan di dalam rumah itu tidak seperti rumah-rumah bujang yang lain. Belum masuk sudah terlihat kekemasan susunan selipar dan kasutnya. Sebaik melangkah, aku disambut dengan ruang legar yang luas, lapang dan bersih. Ruang ini juga untuk solat dan kadang kala berusrah. Di sebelah kiri pula terdapat set sofa bewarna krim, melambangkan betapa kemas dan pembersihnya mereka. Bayangkanlah kalau sofa cerah begitu terletak di rumah bujang lain, aku kira warnanya sudah bertukar coklat kusam.

Melangkah ke ruang dapur, subhanallah, pinggan mangkuk tersusun di rak. Tidak ada satu pun yang tertinggal di sinki. Lantai selesa dipijak, tidak melekit mahupun berhabuk. 

Dan aku dibawa ke bilik untuk aku tidur malam itu yang terletak di sebelah dapur. Sekali lagi aku terpesona, bantal, tilam, almari, seakan-akan tiada siapa yang menyentuhnya, semuanya tersusun rapi. Itu bukan bilik tamu, tapi bilik tiga orang daripada ahli rumah. Dan aku juga sangat terkejut, mereka yang tinggal dalam rumah ini tidak tahu pun aku dan sahabat-sahabat akan datang ke situ. Ini bermakna, apa yang aku lihat adalah akhlak mereka, bukannya berlakon semata-mata untuk menerima tetamu. 







Hasrat untuk ke Teluk Cempedak malam itu yang terkeluar secara tidak sengaja dari mulutku ditunaikan. Walaupun hujan, aku dapat melihat kesungguhan sahabat-sahabat di Kuantan ini untuk meraikan tetamu. Setibanya di TC, keadaan agak lengang dek kerana hujan yang turun sekejap renyai, sekejap lebat. Kami berpayung menelusuri pesisiran pantai TC. Banyak isu yang dibincangkan termasuklah buku tulisan Mujahid Yusuf Rawa, Menuju PAS Baru yang mendapat tentangan segelintir ulamak pelapis PAS. Malam semakin larut, maka pulang adalah yang terbaik ketika itu. Sepanjang perjalanan pulang, kelihatan kereta beratur untuk masuk ke TC. Fahamlah kami, tadinya lengang bukan kerana hujan, tetapi kerana masih awal untuk bercengkerama. Samakin larut, semakin ramailah yang hanyut...

Tiba di rumah, aku sekali lagi terkesima. Payung-payung yang kami gunakan tadi mereka gantung cantik sekali di pintu gril. Subhanallah, sampai begini sekali akhlak mereka?

Malam itu aku tidak lepaskan peluang untuk bertahajud. Beberapa ketika telefonku berbunyi. Ajeib dan Aziz sudah sampai dan kini di terminal bas Kuantan. Zaim bergegas mengambil mereka. Sementara menunggu waktu Subuh, aku bercadang untuk mandi. Sambil menyeluk beg untuk mengambil tuala, sekali lagi aku terpana melihat tuala-tuala ahli bilik berkenaan yang tergantung kemas. Berada di rumah ini membuatkan aku tak habis-habis memuji Allah..

Malam itu beberapa orang ahli rumah tidur berlapikkan tilam di ruang legar yang juga merupakan ruang solat. Beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh aku melihat mereka sungguh berdisiplin melipat tilam dan mengangkatnya masuk ke bilik masing-masing. Solat Subuh ditunaikan berjemaah dengan tuan rumah menjadi imam. Seusai solat, dengan tanpa di suruh, sebuah bakul disorong ke hadapan kami. Aku mengintai-ngintai dari mana datangnya bakul ini. Oh, dari sebuah perpustakaan mini yang tersusun kemas dengan buku-buku kepunyaan ahli rumah di salah satu sudut rumah ini. Bakul ini penuh dengan Al-Ma'thurat. Mereka yang tidak hafaz mengambil lembaran ini, termasuklah aku. Tapi kebanyakan mereka mengalunkan Al-Ma'thurat pagi itu dengan tanpa membuka lembaran. Subhanallah, aku merasa kecil di sini. 

Pagi itu kami memulakan agenda yang membawa aku ke Kuantan, mesyuarat perkembangan. Apa yang kembang? Wallahualam. Kalau dah namanya Pemimpin, insyaAllah akan terus memimpin.


Petang itu kami menziarahi Politeknik Sultan Ahmad Shah atau ringkasnya Polisas. Pertama kali menjejakkan kaki ke polisas mengujakan aku. Ya, sudah pasti ianya lebih besar daripada PJB, tapi tidaklah pula sebesar UTM Skudai. Kawasannya yang berbukit-bukau, dikatakan terletak di dalam hutan simpan cukup nyaman dan tenang. Tiba-tiba keamanan dan kenyamanan kami terganggu, sekali ada orang buat 'fogging' la.... 

Sebelum bertolak pulang, kami menjamu selera di Ana Ikan Bakar. Ikan Aji-Aji bakar sungguh menambat selera. Ajeib berpesan, jangan tambah 'b' pada ikan itu... Haha, nanti jadi Ajib-Ajib.... Tapi kemudiannya aku terfikir, mana boleh jadi 'Ajib', Ajib kan Ajaib... hehehe.....

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Lagi satu jam kami akan berangkat pulang. Ajeib dan Aziz pulang ke Johor. Aku? Ke Gombak? Oh tidak, aku juga ke Johor. Ada tanggungjawab yang perlu aku tunaikan. Sungguh gila, sekejap di Gombak, sekejap di Kuantan dan kali ini mahu ke Pasir Gudang pula... Semoga permusafiran aku kali ini diberkati dan dirahmati Allah. Ya, mungkin juga sempena Maal Hijrah 1432 H. 

Salam Maal Hijrah untuk semua. Jom kita berhijrah!

No comments:

Post a Comment