Saturday, December 25, 2010

Sahabat-sahabiah UTM Skudai yang hebat.....




Motor tua ke sungai tua,
Walau perlahan tetap teruskan,
Demi sahabat, ahh... sebat...,
Pertemuan indah budak-budak sekolah..




Puisi ini aku karang dalam kepala semasa menghenjut motorsikal tua ku menaiki bukit tinggi di Sungai Tua, Ulu  Yam. Entah pantun, entah gurindam, entah sajak, wallahualam... Reunion sahabat sepengajian di UTM Skudai menggagahkan aku untuk menunggang motor selama 2 jam perjalanan, dari Saujana Puchong menuju ke The Woods Resort.

Sudah agak lama aku tidak mengikuti perkembangan sahabat-sahabat UTM. Dalam pertemuan singkat ni, aku terdengar semula nama-nama senior yang sudah sangat lama aku melupainya; Aje, Bulat, Rafiqa, Ustaz, Awie, Nizar dan ramai lagi. Ini semua nama-nama super senior yang waktu aku bersama mereka sangat singkat, masih hingusan. Waktu itu aku melihat mereka sangat hebat. Sehingga kini mereka tetap menjadi orang yang hebat.

Setibanya ke destinasi, terlihat sahabat-sahabat sedang bertungkus lumus memanggang ayam BBQ. Bukan setakat ayam, malah ada juga kambing serta sosej. Baunya sahaja cukup menambat selera.

Mata aku meliar mencari sahabat-sahabat sekolej. Bahu aku dipegang. Adam, namanya disebut oleh penjaga parking semasa aku mula-mula sampai tadi, dan kini dia di sebelahku. Merupakan seniorku di kolej, antara sahabat yang cukup banyak ilmu yang aku timba daripadanya. Berbual tentang sahabat-sahabat sekolej yang rata-ratanya tidak hadir, aku sedikit kecewa. Mana tidaknya, ada yang lebih dekat daripadaku dan lebih berkemudahan daripada aku yang hanya menunggang motor, tapi tidak hadir. Bersangka baik, mungkin ada urusan yang tersangat penting.

Selesai segala persiapan, majlis dimulakan deangn ucapan daripada wakil sahabat-sahabat senior. Selesai ucapan, apa lagi, 'makan time'.. Sedang enak mejamu nasi goreng bersama-sama ayam BBQ, tiba-tiba datang Wanto membawa sebakul makanan. Katanya untuk 30orang. Alhamdulillah, kenyang semua hari ini. Oleh kerana makanan berlebih-lebih, maka terpaksalah makan berulang-ulang.

Selesai makan, yang berkeluarga sibuk melayan anak-anak yang dah tak sabar-sabar nak terjun sungai. Si ayah pun apa kurangnya, bab-bab mandi sungai ni bagi ke depa.. Maka tinggallah yang bujang-bujang ni, melayan sesama sendiri kerana tiada layanan sang isteri. Aduh... Seronoknya berkeluarga...

Baru aku perasan, senior-senior yang tak datang semuanya belum kahwin. Nampaknya hanya aku sahaja senior yang bujang di sini. Sedangkan sang bujang yang lain adalah adik-adik yang baru setahun dua meninggalkan kampus. Isy, patutlah... Pandai betul depa ni.....

Tiba waktu solat, Ahmad mencadangkan solat di tanah lapang di situ, tidak perlu pergi ke surau. Sesuatu yang aku kira sangat menarik. Islam perlu kepad syiar. Mungkin susah untuk kita mengajak semua yang sedang mandi dan berkelah untuk sama-sama solat di surau. Mungkin sahaja ada yang tidak solat. Namun jika ianya disyiarkan, mungkin ada hati-hati yang akan terbuka. Maka sibuklah pak-pak ustaz ni dok nak tentukan mana arah kiblat. Nasib juga ada ustazah di kalangan kami, boleh jugalah yakin kata-katanya.

Selesai solat, eh, ada siapa di belakangku? Alhamdulillah, ada beberapa orang pengunjung di situ yang turut solat bersama-sama dengan kami. Ya, ini satu ruang dakwah. Dalam dunia yang semakin padat dengan fitnah kini, ruang dan peluang dakwah tidak harus disia-siakan. Bertindak, itu yang perlu, walau dengan cara apa sekalipun.

Hari semakin petang. Bimbang kalau-kalau semakin petang hujan akan turun, aku pun mohon diri berundur. Al-maklum, 'kereta' ku tidak berbumbung.


Salam sayang buat sahabat-sahabat seperjuangan. Entah bila kita akan bersua lagi...

No comments:

Post a Comment